Isnin, 1 Mac 2010

KENALI MALAYSIA


Malaysia terletak di rantau Asia Tenggara dan dikelilingi oleh negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina. Kedudukan Malaysia sungguh unik kerana terletak di antara jalan perdagangan timur dan barat.
Malaysia terdiri daripada tiga belas buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Putrajaya ialah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan. Ibu negeri di setiap negeri merupakan pusat pentadbiran negeri.
Ketua Negara Malaysia ialah Yang di-pertuan Agong. Ketua kerajaan Persekutuan pula ialah Perdana Menteri. Sultan, Raja, Yang di-pertuan Besar atau Yang di-pertuan Negeri merupakan Ketua Negeri. Ketua Kerajaan Negeri ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Penduduk di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Di Semenanjung Malaysia, penduduknya terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain.Di Sabah dan Sarawak pula, penduduknya terdiri daripada orang Melayu, Cina, India,Kadazan Dusun, Iban, Melanau, Bajau, Bidayuh, Murut dan peribumi yang lain.
Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, masyarakat Malaysia hidup aman dan damai. Itulah antara keistimewaan Malaysia. Kita sepatutnya bersyukur kerana hidup dalam negara yang aman dan damai. Oleh itu, kita mestilah bersama-sama berusaha untuk mengekalakan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi ini.

Sumber: Buku Teks Sivik dan Kewarganegaraan tingkatan 1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan